
Kerajaan sedia bincang bersama UDA
Seperti yang dilaporkan di Sinar Harian 15-1-2009
GEORGETOWN - “Kerajaan negeri akan membuat perbincangan dengan pihak UDA Holdings bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk Tanjung Tokong,” demikian jaminan yang diberikan Exco Perancangan Bandar dan Desa Perumahan Pulau Pinang, Wong Hon Wai.
Katanya, usul itu akan dibincangkan dengan pihak UDA dalam masa terdekat, berikutan kebimbangannya jika berlaku perkara yang tidak diingini terhadap penduduk berkenaan.
“Kerajaan akan berbincang dengan UDA mengenai pelan pemindahan penduduk yang lebih terancang dan terjamin.
“Malah dari apa yang saya tahu, ada penduduk yang tidak rasa selamat dengan pelan pemindahan UDA itu,” kata Hon Wai.
Beliau ditemui Sinar Harian selepas majlis penyerahan memorandum bantahan perpindahan kira-kira 100 orang penduduk Tanjung Tokong di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) semalam.
Antara kandungan memorandum yang disampaikan adalah pihak pemaju UDA mesti mengeluarkan surat perjanjian dan semua penduduk mesti disediakan pusat pemindahan sementara yang mencukupi serta kerajaan menjadi penjamin dan saksi secara rasmi.
Sehubungan itu, penduduk Tanjung Tokong juga sempat meluangkan masa hampir satu jam bersama Hon Wai bagi membincangkan permasala- han mereka.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Ceu, wakil Parlimen Bukit Bendera, Carol Lim dan wakil ADUN Batu Maung.
Wakil suara penduduk Tanjung Tokong, Mohd Musannif Zainal Abidin berkata perjumpaan bersama wakil kerajaan sedikit sebanyak membantu melegakan penduduk yang dibelenggu masalah.
“Kami berharap agar kerajaan yang baru ini dapat membuat perubahan, jadi ia secara tak langsung dapat beri contoh kepada kerajaan lalu yang langsung tidak mempedulikan kami.
“Penduduk kampung mengambil inisiatif untuk terus bersemuka dengan wakil rakyat kerana kami merasa amat tertekan sekarang dan pihak UDA juga sekarang seperti tiada sekatan menghalau penduduk keluar,” kata Anif.
Menurutnya, jika kini orang berjuang untuk kebeba- san Palestin, tetapi pihaknya pula menolong masyarakat yang ditindas di bumi sendiri.
Anif berkata, penduduk berharap agar kerajaan mengambil tindakan dalam masa 48 jam bermula dari tempoh perjumpaan sebagai jaminan kebajikan penduduk.
Beliau juga memaklumkan penduduk telah menyewa sebuah bas semata-mata untuk berjumpa dengan wakil kerajaan di KOMTAR.
Malah ada antara mereka yang sudah berkumpul dari awal pagi di pekarangan tingkat tiga Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Hon Wai juga sempat mengingatkan penduduk agar jangan bertindak agresif dengan melakukan demonstrasi.
Ini supaya dapat melancarkan lagi perjalanan perbincangan antara UDA dan kerajaan negeri.
No comments:
Post a Comment